Bekas Polis Kelahiran Muar Dipilih Ahli Parlimen Australia

sam-lim.jpg

Sam Lim (tengah berpakaian seragam biru) bersama wakil komuniti selepas dinamakan pegawai tahunan dalam Anugerah Kecemerlangan Polis Australia Barat pada 2020.

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Anak jati Muar Sam Lim, yang juga bekas anggota polis dan pelatih ikan lumba-lumba dipilih sebagai ahli Parlimen Australia, selepas memenangi kerusi Perth di Tangey, yang dianggap sebagai keputusan di luar jangkaan.

Lim, calon Parti Buruh menewaskan calon Liberal, Ben Morton dengan margin 9.5%, selepas parti itu menamatkan pemerintahan konservatif selama sedekad ditunjangi gabungan Liberal-National, dalam pilihan raya umum persekutuan, semalam.

Kejayaan Lim di wilayah Australia Barat itu susulan gelombang sokongan terhadap calon yang berkempen menyokong lebih tindakan membabitkan perubahan iklim, selain konservatif dihukum pengundi di negeri itu dan terutama di kawasan bandar mewah.

Lim merupakan bekas anggota polis negara ini, namun menamatkan perkhidmatannya susulan bayaran gaji rendah. Beliau pernah diwawancara FMT pada Dis 2020.

Menjadi anggota polis ialah “impian kanak-kanaknya”, katanya kepada FMT, cita-cita yang berjaya dicapai di Malaysia sebelum beliau meninggalkan pasukan itu untuk menyara keluarganya dengan lebih baik.

“Saya menyertai pasukan polis pada 1980-an. Sebagai seorang konstabel, saya mendapat RM275 sebulan dan selepas potongan, hanya berbaki kira-kira RM180. Saya mahu berkongsi rezeki dengan ibu bapa, tetapi ia terlalu sedikit.”

Lim kemudian melatih ikan lumba-lumba untuk seketika, sebelum menjadi jurujual, tetapi sejak berhijrah ke Australia pada 2005, beliau kembali melakukan apa yang disukainya.

“Dalam hati, saya masih budak kampung,” katanya sambil ketawa menceritakan beliau tertunggu-tunggu empat minggu dalam setahun untuk pulang ke kampung halamannya, menemui saudara-mara dan rakan lama, serta menikmati roti canai dan teh tarik.

Pada usia 45 tahun, beliau menyertai polis Australia Barat, lulus ujian fizikal dan psikologi serta ditempatkan di barisan depan.

Lim menjadi individu bukan berkulit putih pertama dinobatkan pegawai tahunan Australia Barat pada 2020, sebagai menghargai jasanya dalam komuniti pelbagai kaum ketika pandemik Covid-19.

Lim adalah anak kelahiran Malaysia kedua yang menjadi ahli Parlimen Australia di persekutuan. Sebelum itu, Penny Wong, yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dipilih sebagai anggota Senat, mewakili Australia Selatan, sejak 2022.

Penny dijangka dilantik sebagai menteri luar negara itu, esok.- FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top