Bekas Pemimpin Warisan Cuba Pengaruhi Beberapa Adun Warisan Supaya Melompat – Shafie

Shafie-Warisan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Part Warisan Sabah (Warisan) mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan cuba dipengaruhi seorang bekas pemimpin parti itu untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang yang banyak untuk menyertai parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Warisan tidak pernah berkompromi dan menentang sekeras-kerasnya budaya lompat parti dengan cara penyogokan wang dan pangkat sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Katanya di kala kerajaan berusaha mendapatkan Parti Warisan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan menyokong Kerajaan secara bipartisan dengan menolak budaya politik berlebihan ketika pandemik, terdapat pula unsur menawarkan jawatan dan imbuhan bagi menarik keluar dan menekan mana-mana Ahli Parlimen dan ADUN Pembangkang bagi menyertai Parti Kerajaan.

“Ini jelas bertentangan dengan semangat “Keluarga Malaysia” yang diwarwarkan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Mohd Shafie berkata Parti Warisan melihat perkara itu sebagai satu perkembangan yang jelas menunjukkan bahawa Parti Warisan adalah sebuah parti pembangkang yang efisyen, padu dan cekap dalam menyediakan khidmat semak dan imbang kepada Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Kerajaan Persekutuan.

“Sehingga ada pihak yang merasa tercabar dengan kekuatan parti ini dan terus menerus menggunakan pelbagai cara untuk memastikan Parti Warisan tidak dapat menjalankan peranannya sebagai parti yang menjaga kepentingan rakyat Sabah.

Beliau berkata Parti Warisan juga berpendirian, kemelut yang melanda parti komponen GRS iaitu antara parti UMNO dan Bersatu di peringkat pusat, tambahan pula dengan pengurusan pentadbiran negeri Sabah yang jelas tiada halatuju, menyebabkan GRS tiada jalan lain untuk menyelamatkan keadaan selain daripada mempengaruhi ahli parti Warisan untuk menyertai mereka.

Menurut Mohd Shafie, Parti Warisan masih merupakan parti politik terkuat di negeri Sabah dengan kekuatan sokongan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Tiada parti lain yang mempunyai kekuatan sebegitu di peringkat negeri,” katanya.

Mengenai tindakan ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob keluar daripada parti Warisan itu semalam, Mohd Shafie berkata Parti Warisan melihat keputusan tersebut sebagai keputusan peribadi dan menolak dakwaan bahawa Presiden Warisan membenarkan dan merestui keputusannya untuk keluar daripada parti.

Mohd Shafie berkata Dr Yusof juga tidak wajar menggunakan alasan keputusan itu dibuat demi meneruskan khidmat kepada Rakyat setempat.

“Ini adalah kerana beliau sendiri sebelum ini telah diberi jawatan penting dalam Kabinet negeri iaitu sebagai Menteri Pendidikan dan Inovasi.

“Malah, kedudukan beliau sebagai Ketua Penerangan Parti telah membolehkan beliau menyertai perbincangan dan mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan juga Mesyuarat Pasca Majlis Raja-Raja bersama dengan Menteri Besar, sama ada mengiringi atau mewakili Presiden parti,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top