KOTA KINABALU: Selepas hampir sebulan berteki-teki mengenai hala tuju sekumpulan bekas pemimpin tertinggi Parti Cinta Sabah (PCS) yang keluar parti, akhirnya mereka menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) secara rasmi pada Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, kumpulan yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PCS, Datuk Seri Wilfred Bumburing itu memutuskan untuk menyertai PBRS yang dilihat sebagai satu-satunya parti berbilang kaum berasaskan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) dalam komponen Barisan Nasional (BN).
Wilfred berkata, beliau bersama bekas pemimpin tertinggi PCS yang lain memilih PBRS kerana yakin dengan perjuangan PBRS yang sentiasa konsisten.
“Semasa BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PBRS tidak meninggalkan BN sebaliknya, mereka menunjukkan semangat setiakawan yang kental.
“Malah, dalam beberapa pertemuan dengan Tan Sri Joseph Kurup, beliau konsisten meluahkan semangat untuk berjuang demi orang Sabah. Menerusi PBRS, kita akan dapat memupuk semangat kekitaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.
Menurut beliau, dianggarkan 10,000 ahli PCS serta penyokong Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan bersama-sama mereka menyertai PBRS. Penyertaan mereka dijangka membantu memperkuat dan memperkasakan PBRS.
Pada 17 Disember tahun lalu, Wilfred bersama bekas Naib-naib Presiden PCS, Datuk Ewon Ebin dan Amru Abdul Kadir serta beberapa pemimpin tertinggi lain mengumumkan keluar daripada PCS.