KOTA KINABALU: Bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah era kerajaan Berjaya, Datuk Conrad Mojuntin, 73, meninggal dunia akibat strok hari ini.
Menurut laporan FMT, Mojuntin, yang dipuji kerana kejayaannya melonjakkan bidang sukan Sabah pada awal 1980-an, mengalami komplikasi jantung sejak beberapa lama sebelum kematiannya.
Petrus memberitahu FMT bahawa Mojuntin meninggal dunia pada 11.30 pagi hari ini selepas dimasukkan ke sebuah institusi perubatan swasta pada hari sebelumnya.
“Dia masih boleh bercakap dengan jururawat malam tadi tetapi dia diserang angin ahmar pada pukul 3 pagi,” katanya.
Walaupun jadual Mojuntin padat sebagai menteri sebelum ini, Petrus berkata beliau tidak pernah mengelak tanggungjawabnya sebagai suami kepada isteri dan tujuh anaknya.
“Saya akan mengingatinya sebagai bapa yang baik. Dia sentiasa ada untuk anak-anak dan dia sentiasa mengutamakan keluarga.”
Jenazah Mojuntin kini berada di rumah pengebumian Agut Jubilee di Penampang dekat sini, kata Petrus, sambil menambah bahawa upacara pengebumian ditetapkan pada Sabtu ini.
Mojuntin ialah adik kepada salah seorang pemimpin ulung masyarakat Kadazan dan ahli politik terkenal Sabah Datuk Peter Mojuntin.
Peter adalah salah seorang daripada beberapa menteri kerajaan Berjaya, termasuk ketua menteri ketika itu Tun Fuad Stephens, yang terkorban dalam nahas udara yang tragis pada 6 Jun 1976, insiden yang dikenali sebagai tragedi Double Six.
Selepas kematian Peter, Conrad kemudiannya terjun ke dunia politik, menjadi menteri kebudayaan, belia dan sukan negeri dari 1982 hingga 1985.
Dalam tempoh inilah pembangunan sukan di negeri ini melonjak, dengan Sabah mencapai kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurut FMT, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah kini, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang merupakan setiausaha tetap di Kementerian Belia dan Sukan Sabah ketika itu, teringat bagaimana Mojuntin begitu meminati sukan.
“Atas desakan beliau, saya menyertainya mengambil bahagian dalam maraton Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT.
“Beliau sangat meminati pembangunan sukan dan beliau sendiri merupakan peserta yang aktif.
“Pada zaman beliau, kementerian berjaya mendapatkan khidmat pakar pengurusan sukan dari Amerika Syarikat untuk membantu pembangunan sukan Sabah.”
Atas sumbangan dan komitmen Mojuntin, standard sukan bina badan Sabah dilonjakkan ke persada antarabangs apabila anak kelahiran Sabah Justin Sompong dinobatkan sebagai juara bina badan Asia pada 1985 manakala negeri ini juga menjadi tuan rumah kejohanan berprestij Mr Olympia.
Selepas meninggalkan politik berikutan kejatuhan kerajaan Berjaya pada 1985, Mojuntin cuba membuat kemunculan semula pada pilihan raya umum 2004. Bagaimanapun, beliau tewas di kedua-dua kerusi DUN dan parlimen Moyog dan Penampang, masing-masing.