Bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Meninggal Dunia

ts-khalid.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, malam tadi.

Khalid, 76, meninggal dunia pada 11.08 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan,” menurut kenyataan rasmi di Facebooknya.

Bagaimanapun, atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.

Jenazah Khalid, akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah.

Minggu lalu, Khalid dilaporkan dalam keadaan tidak sihat dan sedang menerima rawatan.

Bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin menerusi Facebooknya berkata, dia sempat ziarah Khalid ketika menerima rawatan di hospital itu.

Khalid mula berkhidmat sebagai menteri besar Selangor selama enam tahun bermula pada 13 Mac 2008 sebelum dipecat oleh PKR pada 2014.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Ijok sebelum dilantik sebagai menteri besar.

Beliau kemudian berpindah dari DUN Ijok ke Pelabuhan Klang pada PRU 2013 dan memenangi kerusi itu.

Pada 9 Ogos 2014, Khalid dipecat daripada PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. Keputusan itu dibuat kerana Mesyuarat Pimpinan Pusat parti mendapati beliau mengingkari arahan untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah yang terpilih pada pilihan raya kecil DUN Kajang.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top