Bekas Isteri MB Perlis Tuntut Mutaah, Nafkah Tertunggak RM15.34 Juta

azlan-man.jpg

Azlan

Kongsi Bersama

Bekas isteri Menteri Besar Perlis, Sova Ali menuntut mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta selepas diceraikan tanpa sebab 23 April 2022 lalu di Jakarta, Indonesia.

Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova, 40, mengesahkan dua tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Menurut kenyataan yang diperoleh media petang ini, Sova merupakan warga Indonesia menuntut mutaah sebanyak RM15 juta daripada Datuk Seri Azlan Man yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bintong kerana telah diceraikan tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 25 Ogos lalu, pasangan yang berkahwin pada 21 Mac 2010 itu disahkan bercerai oleh Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab. Halim dengan talak satu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Selain tuntutan mutaah, Sova turut menuntut nafkah tertunggak sebanyak RM344,250 atas alasan beliau tidak pernah diberikan nafkah bagi tempoh tertentu perkahwinan mereka.

Pada prosiding pengesahan lafaz cerai, Sova memberitahu dia diceraikan Azlan di hadapan ibunya sejurus pulang daripada menunaikan umrah.

Kenyataan tersebut turut menyatakan tuntutan-tuntutan mengenai harta sepencarian yang terletak di Selangor, Perlis dan luar negara serta nafkah idah yang belum ditentukan jumlahnya akan difailkan dalam masa terdekat.

Menurut Zainul Rijal, selain memfailkan tuntutan tersebut pihaknya turut mendapat kebenaran untuk penyampaian saman dan penyata tuntutan di luar negeri Selangor iaitu di Perlis.

Kebenaran tersebut diberikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah, Rashidah Sapingi @ Shafie.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam turut menetapkan 15 Disember ini untuk majlis sulh bagi tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak.- AGENDA DAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top