Bekas Bintang Bola Sepak Sabah Antara Calon PBRS

Motusin-Bowie-FB-100920.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius disenaraikan antara lima calon Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang akan membawa cabaran parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Matusin dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid.

Matusin adalah salah seoramg pemain yang melakar sejarah bersama pasukan Sabah ketika merangkul Piala FA pada tahun 1995.

Beliau bermain bersama nama besar lain dalam skuad negeri ketika itu, termasuk Matlan Marjan, Khairul Azman Mohammad, Ong Kim Swee dan Yap Wai Loon.

Sementara itu presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, dalam satu kenyataan berkata, empat lagi kerusi ditandingi PBRS ialah Matunggong, Tandek, Kadamaian dan Sook.

Ujar beliau, kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan dimanfaatkan sebaiknya ke arah kemenangan.

“Ini adalah peluang kepada PBRS untuk membuktikan bahawa kita adalah sebuah parti tempatan yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

“Semua ahli parti perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon kita pada kali ini. Kita perlu akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang membuat pemilihan serta penilaian yang terbaik dari segenap aspek.

“PBRS juga yakin barisan calon yang dipilih akan menyokong perjuangan dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah sentiasa dibela untuk kesinambungan pembangunan yang patut dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PBRS memutuskan akan bertanding di lima kerusi DUN.

PBRS katanya, turut berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selaku Pengerusi BN Sabah yang memberikan sokongan kepada parti itu.

“Kepemimpinan tertinggi dan seluruh ahli PBRS akan berdiri teguh dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi untuk kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Lima calon PBRS itu ialah Richard Kastum @ Mosinal (Matunggong), Yillson Yanggung (Tandek), Duanis Mogirong (Kadamaian), Matusin Bowie @ Matius (Tulid) dan Bonepes Been (Sook)

Komen

Kongsi Bersama

1 Reply to “Bekas Bintang Bola Sepak Sabah Antara Calon PBRS”

  1. xfile says:

    Dulu kes apa ni ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top