Bekas Banduan Buka ‘Restoran Penjara’ Kumpul Dana Bebaskan Tahanan Yang Dibebani Hutang

restoran-penjara.jpg
Kongsi Bersama

TEHERAN: Dua bekas banduan di Iran telah membuka ‘restoran penjara’ yang bertujuan mengumpulkan dana bagi membebaskan tahanan yang berdepan bebanan hutang.

Idea membuka ‘Cell 16’ di timur Teheran tercetus ketika Benyamin Nakhat, 31, ditahan bersama rakan kongsinya, Arman Alizadeh, 30.

“Ketika itu saya diisytiharkan bankrap semasa bekerja di sebuah pasar besi,” katanya sambil menambah, mereka membuka restoran tersebut kira-kira dua tahun selepas dibebaskan pada 2016.

“Dekorasi di restoran itu sangat mudah kerana kami hanya meniru sel seperti di penjara sebenar. Kami mahu menunjukkan penjara tidak semestinya menempatkan orang jahat.

“Penghuni penjara kadangkala bukan kerana mereka melakukan jenayah. Mereka mungkin ditimpa musibah dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Benyamin.

Perniagaan duo itu berjaya mendapat sambutan dengan bantuan media sosial dan ‘Cell 16’ kini memperluaskan cawangan mereka di ibu kota Teheran dan bandar Isfahan.

Agensi berita IRNA melaporkan restoran itu meraih AS$130 juta (RM544 juta) hasil sumbangan orang ramai untuk membayar semula hutang ribuan tahanan.

Difahamkan, lebih 11,000 rakyat negara itu atau hampir lima peratus menghuni penjara kerana gagal melangsaikan hutang. – AFP


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top