Bekas ADUN gesa Sabah bertegas dapatkan 40% hasil negeri

James-Ligunjang.jpg

Datuk James Ligunjang

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah perlu bertegas untuk mendapatkan 40 peratus hasil negeri Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan, kata bekas ADUN Petagas Datuk James Ligunjang.

Beliau berkata, isu itu telah berpanjangan sejak 60 tahun lalu dan masih belum diselesaikan.

“Sejak Sabah menyertai Malaysia pada 1963, ia dijanjikan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini daripada kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun, janji ini tidak pernah ditunaikan sepenuhnya, dan kini tiba masanya untuk menangani perkara ini dan memastikan hak itu diberikan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

James menambah bahawa akibat daripada janji yang tidak dipenuhi itu adalah ketara.

Ini termasuk pembangunan infrastruktur yang tidak mencukupi, sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan yang tidak memenuhi keperluan, dan kekurangan peluang ekonomi untuk rakyatnya.

“Potensi negeri masih belum direalisasikan sepenuhnya kerana kekurangan peruntukan sumber yang saksama.

“Ini telah mengakibatkan jurang perbezaan antara Sabah dan negeri-negeri yang lebih maju dalam Malaysia.

“Dengan memberikan Sabah bahagian sumber yang saksama, negeri akan dapat menzahirkan potensinya, merapatkan jurang pembangunan, dan menyumbang kepada Malaysia yang lebih makmur dan bersatu,” tambahnya.

Beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan persekutuan memperbetulkan ketidakadilan ini dan menunaikan kewajipannya.

“Memenuhi hak-hak Sabah akan menyumbang kepada Malaysia yang lebih inklusif dan seimbang.

“Ia akan menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan menghargai dan menghormati semua negerinya secara sama rata, memupuk perpaduan dan keharmonian dalam negara.”

Pada Jun tahun lepas, sebelum penubuhan kerajaan perpaduan, 13 wakil rakyat Pakatan Harapan Sabah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan hak 40 peratus hak hasil negeri.

Bagaimanapun, sama ada kesemua mereka akan meneruskan atau menarik balik tuntutan itu akan diketahui pada 31 Julai.

 

Sumber: NST

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top