KOTA KINABALU: Kerajaan meyakinkan pengguna di Sabah bahawa produk pertanian di wilayah ini adalah lebih dari mencukupi untuk memenuhi permintaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata secara keseluruhan, bekalan beras di Sabah ketika ini mencukupi selama enam bulan.
“Stok beras terkini di pemborong dan kedai runcit ialah 12,528 metrik tan (MT) sementara stok penimbal kita berada pada 49,500 MT. Kita juga mempunyai stok kemasukan kapal sebanyak 12,528 MT.
“Ini tidak termasuk beras wangi, beras pulut dan beras basmati. Rata-rata, pengguna di Sabah mengkonsumsi 12,000 MT beras setiap bulan, ”katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata Sabah juga mempunyai cukup bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan sepanjang tempoh PKP.
Tiga Taman Pengeluaran Makanan Kekal di Kundasang, Putatan dan Lahad Datu juga telah beroperasi seperti biasa dan mengeluarkan produk.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa pengguna Sabah tidak perlu risau mengenai ketersediaan produk perikanan kerana pada masa ini, bekalan adalah melebihi permintaan.
Menurut unjuran Food Fish Security for Sabah, keperluan bagi produk perikanan bagi tahun 2020 adalah sebanyak 176,959 MT manakala pengeluaran adalah 202,436 MT.
Bekalan daging lembu, daging kerbau, ayam, daging khinzir, telur, dan susu juga mencukupi sepanjang tempoh PKP ini.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kementerian yang mengawalselia produk pertanian, saya ingin meyakinkan pengguna-pengguna di Sabah bahawa kita tidak akan kehabisan makanan.
“Oleh itu, tidak perlu panik membeli barang keperluan atau mengumpul barang keperluan, terutama barang makanan, secara melampau. Bekalan ini lebih dari mencukupi,” kata Kitingan.
Pada masa yang sama, beliau meminta rakyat di Sabah untuk mendaftarkan diri bagi menerima vaksinasi COVID-19 secepat mungkin.
“Sekiranya anda melindungi diri anda, anda juga melindungi orang yang anda sayangi dan orang-orang di sekitar anda,” katanya.-pr/BNN