Bekalan kuasa di Sabah atas ihsan tupai – Madius

tupai-elektrik.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Infrastruktur kuasa di Sabah sangat terdedah sehingga seekor tupai pun boleh menyebabkan gangguan bekalan, kata Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) itu berkata terdapat kira-kira 5,000km kabel tidak bersalut digunakan untuk menghantar kuasa ke seluruh negeri, yang boleh terganggu oleh kejadian kecil seperti dahan pokok yang jatuh ke atasnya.

“Oleh kerana ianya tidak dilindungi, ia sangat sensitif kepada faktor luaran.

“Jadi kadangkala, apabila tupai berada di atas kabel, atau dahan atau daun atau, lebih teruk lagi, pokok tumbang dan menimpa kabel, bekalan elektrik kita akan terputus,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata infrastruktur yang kurang dibangunkan adalah antara punca Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik yang kerap, katanya dalam ceramah mengenai perkara itu di laman Facebook gerakan “Sabah Maju Jaya” malam Khamis lepas.

Beliau berkata apabila litar pintas seperti yang digambarkan itu berlaku, ia mungkin sukar bagi pasukan respons SESB untuk menentukan lokasi kejadian, yang kini dilakukan menggunakan 25 dron.

Tangau berkata kabel itu sepatutnya disalut untuk mengelakkan gangguan sedemikian, tetapi ini akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan dan menelan belanja sekurang-kurangnya RM1 bilion.

“Dengan kapasiti semasa SESB, ia hanya boleh mengendalikan kerja menyalut kabel sepanjang 300km setiap tahun. Tanpa program penggantian kabel utama, kita akan mengambil masa 20 tahun untuk menyelesaikan masalah kabel tidak bersalut di negeri ini,” katanya.

Selain kabel tidak bersalut, Madius berkata faktor penyumbang lain ialah beberapa daerah tidak disambungkan ke grid kuasa utama, menyebabkan penjanaan kuasa serta kapasiti penyimpanan yang lebih rendah.

Daerah seperti Telupid dan Ranau, yang berada dalam grid, juga menggunakan alat janakuasa usang mereka sendiri yang boleh menyebabkan bahagian penjanaan kuasa mereka menurun daripada 20 peratus kepada lima peratus, yang berpotensi menyebabkan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (Saidi) lebih 500 minit setiap tahun.

Saidi Sabah kini 298 minit setahun, turun daripada 700 minit sepuluh tahun lalu.

Taman Perindustrian Kota Kinabalu adalah satu-satunya kawasan di negeri ini dengan Saidi hanya 50 minit, manakala Kota Kinabalu mempunyai lebih daripada 100.

Di kawasan seperti ibu negeri di sini, kata Tangau, penduduk yang ramai dan aktiviti pembangunan yang tinggi menyebabkan kabel bawah tanah kadangkala terjejas.

“Kejadian gangguan adalah tinggi dan memerlukan masa untuk menyambung semula selepas ia terputus,” katanya.

Salah satu penyelesaian yang jelas adalah dengan meningkatkan penjanaan kuasa, yang seterusnya akan meningkatkan margin rizab yang kini berada pada 12 peratus. Margin yang sihat ialah 30 peratus, katanya.

Kapasiti penjanaan tenaga semasa Sabah adalah sekitar 1,200 megawatt, dengan 80 peratus daripadanya datang daripada loji janakuasa bebas (IPP), dan baki 20 peratus datang daripada aset SESB sendiri. – Harian Ekspress

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top