KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa rakyat Sabah supaya menderma darah di bank darah daerah masing-masing setelah penurunan ketara bekalan di seluruh negeri itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyebut khusus perkara itu ketika memberikan kenyataan harian Covid-19 hari ini, setelah gelombang ketiga kes Covid-19 menjejaskan usaha menderma darah di seluruh negeri.
Katanya, keadaan dijangka bertambah buruk pada bulan puasa dan berterusan hingga ke Pesta Menuai pada akhir bulan ini.
Walaupun hospital di Sabah telah mengambil langkah berjaga-jaga, beliau berkata pelaksanaan pelbagai perintah kawalan pergerakan telah mempengaruhi bekalan yang ada.
“Dianggarkan stok darah tahun ini akan jatuh 20% berikutan pembatalan lebih 200 kempen derma darah yang pada mulanya disasarkan untuk mengumpul kira-kira 6,000 bekalan darah.
“Kekurangan ini perlu diatasi segera supaya bekalan untuk pesakit tidak akan mencapai tahap kritikal,” katanya.
Masidi berkata perkhidmatan pemindahan darah Sabah telah menetapkan sasaran kutipan mingguan 1,800 bekalan untuk memenuhi permintaan dan memastikan tahap bekalan darah adalah pada tahap selamat.
“Oleh itu, kerajaan negeri menggesa semua orang keluar menderma dengan menghubungi bank darah yang terdekat,” katanya.
Jangkitan Covid-19 kembali pada angka dua angka semalam, dengan 63 kes dilaporkan berbanding 153 pada hari sebelumnya.
Sabah kini mempunyai 58,796 kes kumulatif, dengan 574 pesakit masih menerima rawatan di hospital atau pusat rawatan berisiko rendah. – FMT