PUTATAN: Bekalan bawang merah (India) di Sabah dilihat semakin beransur pulih dengan adanya bekalan tambahan yang diimport dari dua negara lain.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, masalah kekurangan bekalan bawang merah kecil ini sudah dihadapi sejak penghujung tahun lalu disebabkan kekurangan bekalan dari India.
Bagaimanapun, kerajaan telah cuba mendapatkan bekalan bawang merah dari Vietnam dan Kemboja bagi mengatasi masalah itu.
“Saya difahamkan bekalan semakin beransur pulih dan kita harap apabila bekalan pulih, harga (bawang merah) boleh diturunkan kerana pada hari biasa, bawang merah bukan dalam bahan terkawal.
“Sekarang ini bekalan bawang masih ada cuma tidak mencukupi,” katanya ketika tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021, peringkat negeri Sabah, di sini pada Isnin.
Shahelmey berkata, jika pada penghujung tahun lalu harga bawang merah kecil ini mencecah RM26 per kilogram, namun pada awal Januari sudah ada penurunan harga.
Mengenai SHMMP sempena Tahun Baharu Cina ini, terdapat 16 barangan disenaraikan sebagai barangan kawalan iaitu ayam hidup RM 6.60/kilogram (kg), ayam standard RM 9.50/kg, ayam super RM 9.80/kg, telur ayam gred A RM 0.41/biji, telur ayam gred B RM 0.40/biji, telur ayam gred C RM0.39/biji, kubis bulat import RM 3.50/kg, cili merah RM12/kg, tomato RM 6/kg, ubi kentang import (China) RM 3.50/kg, bawang putih (China) RM 8/kg, ikan bawal putih seberat 200g hingga 400g RM 38/kg, udang putih besar RM 28/kg, babi hidup RM 11/kg, daing babi (perut) RM 24/kg dan daging babi (daging dan lemak) RM20/kg.
Beliau turut menasihatkan peniaga agar sentiasa mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.
Untuk pengguna pula, beliau menasihatkan pengguna untuk sedar tentang hak sebagai pengguna dan tidak melakukan pembelian panik semasa musim perayaan.
“Bekalan makanan adalah mencukupi dan kawalan harga sentiasa dipantau agar peniaga mematuhi kawalan harga maksima musim perayaan yang ditetapkan,” ujarnya.
Jika terdapat sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada sembilan saluran yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk melalui Facebook KPDNHEP Sabah.
Katanya, tinjauan yang diadakan hari ini turut memantau pematuhan peniaga dan pengguna terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
Berdasarkan tinjauan itu, Shahelmey mendapati peniaga mematuhi SOP ditetapkan melalui penyediaan alat pengimbas suhu, pensanitasi tangan, QR code MySejahtera serta buku maklumat pelanggan. Pengguna juga memakai pelitup muka semasa berada dalam premis perniagaan.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Abd Wahid Ahmad. – Borneo Today