KOTA KINABALU: Peniaga di Sabah khususnya yang berada di Pasar Besar Kota Kinabalu berkata bekalan ayam ada, namun stok yang diterima daripada pembekal adalah terhad buat masa ini.
Tinjauan di pasar itu mendapati peniaga masih boleh mendapatkan bekalan ayam mereka tetapi dalam kuantiti yang lebih kecil berbanding sebelum ini, manakala ayam keseluruhan masih dijual pada harga RM11 hingga RM11.50 sekilogram.
Penjual ayam Rizal Hamid, 43, dari Penampang berkata, dia biasanya akan membuat tempahan sebanyak 300 ekor ayam daripada pembekal setiap hari, namun kini hanya mampu memperoleh antara 100 hingga 150 ekor sehari.
“Pada masa ini, kita tidak boleh katakan sama ada bekalan mencukupi atau sebaliknya, begitu-begitu sahaja. Ini kerana apabila kami membuat tempahan (untuk ayam) ia masih ada, tetapi biasanya kami akan menerima hanya separuh daripada kuantiti yang kami tempah.
“Ada yang bertanya kepada saya kenapa keadaan begini, dan selalunya saya akan katakan ada masalah dengan makanan ayam, kos makanan ayam terlalu tinggi. Berat keseluruhan ayam yang sepatutnya dijual pembekal kepada peniaga adalah antara 1.8 hingga 2kg,” katanya ketika ditemui, pada Khamis.
Rizal berkata peniaga kini menutup kedai seawal 9 pagi atau 10 pagi berbanding 4 petang sebelum ini, kerana kehabisan stok.
Seorang lagi peniaga, Yusof Kadil, 48, dari Likas, berkata bekalan masih ada dan harga ayam keseluruhan tidak berubah.
“Bekalan ayam masih ada tetapi ia berkurangan kira-kira 30 peratus. Sebagai contoh, kami akan meminta pembekal untuk menyediakan 100 ekor ayam tetapi kami hanya akan mendapat 60 atau 70 ekor.
“Bagi harga ayam, kami tidak akan menaikkan harga kami melainkan pembekal menaikkan harga mereka,” katanya, sambil menambah pada masa ini tiada had bilangan ayam yang boleh dibeli pelanggan.Yusof berkata, dia berharap bekalan ayam akan stabil, kerana ia merupakan sumber makanan penting dan digunakan semasa kenduri.
Pada Selasa, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata bekalan ayam mencukupi untuk rakyat di negeri ini.
Beliau berkata Sabah mampu mengeluarkan lebih 100,000 ayam sembelihan dan 2.5 juta telur ayam sehari, yang cukup untuk menampung permintaan tempatan. – BERNAMA