KUALA LUMPUR: Impian pelawak Atu Zero membeli van untuk kerja pengurusan jenazah di Kudat, Sabah akhirnya termakbul.
Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli berkata, dia bagaimanapun belum menghantar van itu kerana perlu menjalani pengubahsuaian seperti dilengkapi tempat mandi jenazah bagi tujuan pengurusan yang lebih sistematik.
“Saya tak menjangka impian untuk memiliki sebuah van jenazah menjadi kenyataan. Saya akui gembira walaupun orang kata itu ayat klise.
“Saya amat berterima kasih kepada sahabat yang tidak putus membantu dalam urusan ini. Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan ganjaran buat kita semua,”katanya.
Menurut Atu, kos membeli van jenazah itu adalah RM121,000, tidak termasuk kos pengubahsuaian.
“Saya masih belum tahu berapa kos yang diperlukan lagi untuk ubah suai. Insya-Allah saya akan usahakan dalam waktu terdekat untuk menjayakan misi van jenazah bagi fakir miskin. Saya mahu van jenazah ini dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik. Saya pernah tengok van bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor yang seumpama itu.
“Saya ingin van ini memberi pelbagai kemudahan selepas mengambil kira saiz rumah di perkampungan sekitar Kudat yang kecil selain surau dan masjid jauh dari kawasan penempatan. Saya juga berharap van ini dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah. Mana tahu, selepas ini kami boleh luaskan perkhidmatan di luar daerah Kudat,” katanya.
Dalam masa sama, Atu turut berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan misi van jenazah untuk fakir miskin sehingga ke Sarawak.
Tidak hanya itu, Atu turut memasang impian untuk membina sebuah masjid di Kudat.
“Biarlah harta saya tidak banyak di dunia tetapi adalah sedikit bekalan yang boleh saya bawa ke akhirat nanti. Saya mohon doa semua agar impian ini dimakbulkan Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Atu kini sedang sibuk mempersiapkan diri di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 bersama kumpulan Boro, bergandingan dengan Fad dan Achey. – HMetro