KOTA KINABALU: Peruntukan berjumlah RM200 juta yang mula disalurkan kepada kerajaan negeri pada awal minggu lalu akan membolehkan bekalan air di Sabah stabil pada suku pertama tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerajaan Persekutuan telah mula menyalurkan sebahagian daripada peruntukan RM320 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
“Saya dimaklumkan sejumlah RM200 juta sudah disalurkan kepada kerajaan negeri pada awal minggu lepas maka, kerja-kerja melaksana inisiatif yang terlibat akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya ketika mengulas tentang peruntukan RM320 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa program mesra rakyat sempena Krismas di Kampung Potuki, Lokkawi kelmarin.
Dalam pada itu, pembinaan Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 juga telah siap dan mula beroperasi. Loji ini mampu menghasilkan air sehingga 80 juta liter sehari (MLD).
Walau bagaimanapun, ketika ini loji ini hanya boleh menyalurkan sehingga 40 MLD susulan pemasangan paip belum siap sepenuhnya.
“Masalahnya sekarang, daripada 40 MLD itu, kita beransur-ansur keluarkan air daripada lapan kepada 13 MLD sebagai tambahan kepada sistem. Penyaluran air ini akan mengambil sedikit masa untuk menyalurkan air sehingga 40 MLD.
Peruntukan sebanyak RM320 juta bagi menyelesaikan masalah air di negeri ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja ke Sabah pada 31 Mei lalu.
Berdasarkan rancangan awal, peruntukan tersebut akan digunakan bagi mengurangkan ketirisan air tidak berhasil (NRW) serta menyelenggara paip dan pam-pam air yang rosak.
Menteri Kerja Raya itu berkata, gangguan bekalan air yang berlaku sejak kebelakangan ini disebabkan peningkatan penggunaan air pada musim cuti sekolah dan gangguan bekalan elektrik di Moyog baru-baru ini.
Katanya, gangguan bekalan elektrik itu menyebabkan bekalan air terganggu termasuk di kawasan Sepanggar. – UTUSAN