Bekalan Air Ke Kampung Tanjung Aru Telah Pun Dipulihkan – Bung Moktar

paip-rosak.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid.

KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Tanjung Aru dan sekitarnya telah pun diselesaikan dan bekalan air bersih pulih seperti sedia kala.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, gangguan berlaku disebabkan kejadian paip pecah di kampung Tanjung Aru dan pihak Jabatan Air telah pun memperbaiki paip tersebut.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya menjelaskan memang berlaku tekanan air rendah sejak berlakunya bencana  tanah runtuh di Kampung Kopungit pada awal September lepas yang menjejaskan tangki simpanan  air 5Mld sehingga menyebabkan bekalan air turun separuh daripada  kapasitinya ke kawasan Tanjung Aru.

“Bencana alam sukar kita ramalkan ini termasuklah kawasan tangki air Kopungit yang terlibat dengan runtuhan tersebut, bagaimana pun pihak JKR telah membaiki cerun terlibat yang kini dalam pelaksanaan,” katanya sebagai mengulas kenyataan media Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Aru Junz Wong yang mendakwa Jabatan Air tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang melibatkan tangki simpanan air di Kopungit dan masalah gangguan air di kampung Tanjung Aru.

Tambah Bung ada beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di kawasan Tanjung Aru malah di kawasan-kawasan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang apabila berlaku banjir di Sungai Moyong baru-baru ini, yang turut menjejaskan kerja-kerja merawat air  di loji rawatan  Kasiguai di mana ia merupakan sumber air bagi kawasan terlibat.

“Untuk menangani masalah ini  tindakan jangka pendek agar bekalan air tidak begitu membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya,kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding pengguna yang semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu Bung berkata kerajaan mempunyai rancangan jangka pandek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di negeri ini.

“Sudah tentu jika kita membuat perancangan yang teliti mengenai bekalan air di negeri ini, perkara yang berlaku pada hari ini mungkin dapat kita elakkan,” katanya.

Mengulas  dakawaan Junz semasa kerajaan Warisan memerintah tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini, Bung berkata Junz ternyata berbohong, di mana masalah air di Sabah bukan baharu malah ianya  sudah berlarutan  dan semasa Warisan menjadi kerajaan  pun mereka tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik bekalan air bersih di Sabah.

“Semasa kerajaan Warisan memerintah pun kejadian gangguan bekalan air bersih berlaku, namun kita tidak nampak apa yang mereka lakukan,” jelas Bung.

Menurut Bung selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap bekalan air di Sabah kementerian beliau sedang membuat kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

“Kita sedang menunggu laporan lengkap  daripada perunding yang dilantik bagi menilai dan memperincikan langkah-langkah holistik yang seharusnya dilakukan dalam menangani  masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk dan tindakan peringkat demi peringkat akan kita laksanakan,” jelas beliau.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top