KENINGAU : Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira jam 1.05 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
Nor Rafidah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada jam 2.38 pagi.
Katanya, bayi perempuan itu ditemui orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Ketika ditemui, bayi tersebut dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga. Pengadu terkejut dan terus mengangkat bayi tersebut masuk ke dalam kereta.
“Bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Nor Rafidah berkata bayi itu berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Tambunan.
Kes disiasat mengikut seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.