Bayi Maut, Ibu Parah Ditetak Datuk Kandung

parang.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas ditetak di kepala oleh datuk kandung dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, ibu bayi berkenaan yang juga anak perempuan suspek mengalami cedera parah termasuk hampir putus telinga.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu, pada 2.40 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba sahaja tiba lokasi mendapati bayi perempuan telah meninggal dunia akibat ditetak di kepala.

“Ibunya yang berusia 35 tahun pula mengalami parah di belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus akibat tetakan. Kesemua mereka warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pasukan polis kemudiannya mengesan dan menangkap suspek di kawasan kebun sawit di lokasi sama selain merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 60 tahun warga Filipina dibawa ke IPD Kinabatangan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya. – Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top