KOTA BELUD: Perjalanan pulang 10 sekeluarga selepas bertemu dengan ahli keluarga di Pulau Mantanani, Kota Belud semalam bertukar tragedi apabila bot yang dinaiki mereka karam di tengah laut.
Lebih menyayat hati apabila salah seorang penumpang yang juga bayi berusia 12 bulan maut akibat lemas dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang.
Ketika kejadian kesemua mangsa masing-masing empat lelaki, tiga wanita dan kanak-kanak sedang berada dalam perjalanan pulang ke jeti Kampung Rampayan Laut dari pulau berkenaan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, kesemua mangsa diselamatkan oleh sebuah lagi bot yang turut berada dalam perjalanan menuju ke darat.
“Bagaimanapun seorang bayi berumur satu tahun yang dilaporkan meninggal dunia akibat lemas,” katanya.
Mangsa, Muhammad Hayrul Sufyan Fian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat lemas sewaktu insiden itu berlaku.
Sementara itu, sembilan lagi mangsa termasuk ibu kepada Muhammad Hayrul dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut
Operasi menyelamat kemudian ditamatkan oleh pihak bomba pada jam 4.15 petang.