BELURAN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki bersama kira-kira 20,000 liter diesel bersubsidi di sini.
Suspek yang menggunakan lori tangki ditahan di sekatan jalan raya di Road Check Point (RCP) KM4 Jalan Sapi Nangoh pada Selasa dalam operasi yang digelar Ops Taring.
Operasi itu dijalankan oleh pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berpangkalan di Beluran.
Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Hasan Majid berkata pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek terbabit gagal menunjukkan permit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membenarkan mereka mengangkut diesel itu.
“Mereka juga tidak mempunyai resit sebagai bukti pembelian minyak diesel berkenaan.
“Semua suspek terbabit terus ditahan, manakala lori serta muatannya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Superintendan Hasan berkata suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penguat kuasa KPDN untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.