BATC: Malaysia Tundukkan Korea Selatan 3-0, Berdepan Indonesia Tentukan Juara

Lee-Jii-Zia.jpg

Zii Jia

Kongsi Bersama

SHAH ALAM: Misi memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) semakin hampir berada dalam dakapan Malaysia, setelah skuad lelaki negara mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Korea Selatan 3-0 pada separuh akhir dekat sini, malam tadi.

Sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan penganjuran edisi kali ini merupakan yang keempat, Malaysia belum pernah menjuarai pertandingan itu.

Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah melangkah ke perlawanan akhir, dua tahun lalu di Filipina, namun, Malaysia kempunan untuk merangkul gelaran apabila tewas 2-3 kepada Indonesia.

Selaku tuan rumah, edisi kali ini merupakan peluang terbaik Malaysia untuk merangkul gelaran dan dalam perlawanan akhir, hari ini, umpama aksi ulangan dua tahun lalu apabila Indonesia yang menewaskan Singapura 3-2 dalam satu lagi separuh akhir menjadi pencabar buat skuad kebangsaan.

Dalam aksi separuh akhir, malam tadi, jaguh No. 7 dunia, Lee Zii Jia mengutip mata pertama Malaysia, namun, dia dipaksa bekerja keras oleh pencabar dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin sebelum menang 13-21, 21-13, 21-15.

Sementara itu, beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuat peminat di Pusat Konvensyen Setia City cemas seketika, sebelum mereka menundukkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 dalam masa hampir sejam.

Aaron dan Wooi Yik

Kejayaan mengutip mata kedua Malaysia telah membuat Wooi Yik bertindak emosi apabila dia menanggalkan jersi yang dipakainya sebelum melemparkan ke arah penonton.

Tindakan pemain berusia 24 tahun itu telah mengakibatkan dia dipanggil pengadil lalu diberi amaran di atas kelakuannya yang tidak menghormati lawan.

Dalam aksi ketiga Malaysia menentang Korea Selatan, Ng Tze Yong, 22, yang menghuni ranking ke-47 dunia melengkapkan kejayaan pasukan negara 3-0 selepas turut dipaksa bermain dalam rubber set oleh Kim Joo Wan, 25, sebelum menang 19-21, 21-16, 21-12.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top