Batal Pemberian 40% Hasil Secara ‘Senyap’, Warisan Desak Kerajaan Beri Penjelasan

azis-n-tengku-zafrul.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai pembatalan pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah bertentangan dengan Perlembagan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pendedahan Menteri Kewangan dalam ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat bahawa formula Perkara 112C sudah tidak lagi terpakai susulan kajian semula ke atas Pemberian Khas telah dipersetujui bersama di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 1969 hingga 1973.

“Setelah 52 tahun kerajaan Persekutuan merahsiakan perkara itu, akhirnya telah terbongkar bahawa semasa tempoh darurat pada tahun 1969 hingga 1971, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri telah mempersetujui secara bersama bahawa kadar ‘pemberian khas’ kepada Sabah akan dilaksanakan di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, formula pengiraan di bawah Perkara 112C tidak lagi terpakai. Keputusan ini dibuat pada 1 September 1969 dan diwartakan pada 17 September 1970 iaitu sewaktu tempoh darurat.

“Memandangkan perkara ini merupakan pendedahan besar dan menyentuh mengenai Perlembagaan Persekutuan dan MA63 yang kita junjung sebagai rakyat Malaysia, pelbagai persoalan harus dijawab oleh kerajaan segera.

“Pertama, mengapa Warta Kerajaan 1970 ini diletakkan status rahsia sedangkan warta itu sendiri untuk pengetahuan umum. Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan, ia telah diwartakan dalam warta kerajaan persekutuan sedangkan saya telah semak dalam laman web warta kerajaan bahawa warta tahun 1970 tidak wujud.

“Mengapa daripada tahun 1969 sehingga sekarang, Perlembagaan Persekutuan tidak dicatatkan pindaan mengenai perkara ini sedangkan jawapan daripada Menteri Kewangan bahawa Perkara 112C tidak lagi terpakai.

“Kenapa proses pindaan perlembagaan langsung tidak dilakukan sebagaimana yang dilakukan di Dewan Rakyat pada hari ini.

“Memandangkan pewartaan ini dikeluarkan semasa tempoh darurat dan kesemua Ordinan darurat dimansuhkan pada tahun 2011, mengapakah sehingga ke hari ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan tidak dibuat dan warta ini tidak didedahkan kepada umum dan masih berstatus rahsia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahli Parlimen Sepanggar itu turut mempersoalkan kenapa pindaan berkaitan isu itu tidak melalui proses yang betul. Pembatalan formula Perkara 112C dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan rakyat Malaysia dan rakyat Sabah pada tahun 1970.

Justeru, jawapan yang diberikan Menteri Kewangan agak mengelirukan Dewan. Maka, Perkara 112C di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dengan dua perlima (2/5) atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan seharusnya masih terpakai.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top