KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memperjelaskan mengenai kedudukan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah ke atas hasil Kerajaan Persekutuan yang diperolehi daripada Sabah.
Ketika membuat gesaan itu, Bendahari Agung Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Murshidi Abd Ghaffar (gambar) berkata pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman di Dewan Rakyat memerlukan penjelasan telus dan terperinci oleh Putrajaya.
“Dalam pendedahannya Mohd Azis mendakwa 40% hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui warta kerajaan sejak tahun 1970 tanpa pengetahuan kerajaan dan rakyat Sabah.
“Jika perkara ini benar, ia merupakan satu pencabulan ke atas hak perlembagaan Sabah dan hak perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Perkara 112C dan Perkara 112D merupakan peruntukan perlembagaan mandatori bagi Sabah bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
“Peruntukan Perlembagaan ini bersifat kekal selagi Persekutuan Malaysia masih wujud,” tegas beliau.
Katanya, Perkara 112C dan 112D adalah ‘suci’ kepada rakyat Sabah kerana ia melayakkan mereka mendapat sebahagian daripada sumbernya sendiri untuk membangunkan negeri.
“Sebarang percubaan untuk membuang kedua-dua Perkara itu akan membawa akibat yang tidak baik kepada Persekutuan Malaysia,” katanya.
Murshidi berkata rakyat Sabah tidak akan berdiam diri jika kedua-dua Perkara tersebut telah dibuang.
“Kami mungkin mengadakan demonstrasi secara aman jika perlu,” katanya sambil berharap kerajaan Persekutuan tidak berlengah-lengah memberikan penjelasan.
Untuk rekod Mohd Azis dalam sidang medianya di bangunan Parlimen kelmarin mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan hal mengenai Pemberian Khas 40% hasil negeri Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini dikatakan sebagai tidak lagi terpakai oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.
Menurut Mohd Azis, perkara yang dirahsiakan itu telah berlanjutan selama lebih 50 tahun sewaktu tempoh darurat pada 1969 sehingga 1970.
Menurutnya lagi sejak tahun 1969 hingga ke hari ini, kerajaan tidak pernah meminda Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan kerana tidak tercatat sebarang pindaan di dalam buku Perlembagaan berkaitan perkara tersebut.