KOTA KINABALU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan mengumumkan kepimpinan rasmi parti berkenaan di Sabah pada persidangan yang bakal diadakan pada 1 Oktober depan
Presiden Pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kepimpinan PBM Sabah masih di bawah jawatankuasa Protem.
Sebelum ini, Presiden PBM merangkap Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng menjelaskan Biro Politik PBM telah bersetuju melantik Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai Ketua Perhubungan PBM Sabah.
“Dengan penyertaan Mohamaddin dalam PBM, kini kita mampu membentuk struktur kepimpinan baharu di Sabah dan mendaftar PBM Sabah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Wakil PBM di Sabah sebelum ini telah pun dimaklumkan mengenai keputusan parti dan mereka kena menerima pelantikan Mohamaddin dalam jawatan itu,” katanya.
Katanya, keputusan itu dibuat minggu lalu dan tidak menerima sebarang bantahan. Pengorbanan perlu dilakukan parti demi menyesuaikan serta mengembangkan PBM.
Zuraida ketika ditanya mengenai perkara itu menjelaskan kepimpinan PBM Sabah masih diperingkat jawatankuasa protem.
“Oleh itu, kita akan mengadakan persidangan peringkat kebangsaan pada 1 Oktober depan dimana kita akan menstruktur semula, melantik semula dan meletakkan barisan kepimpinan PBM secara rasmi,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Berkaitan dengan hubungan PBM dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah.
Zuraida menjelaskan PBM mungkin dilihat kecil pada ketika ini tetapi kekuatan yang dimiliki adalah setanding dengan parti lain.
“Tidak kira kita bergerak ke arah gabungan, kita tidak bimbang kerana kita mempunyai kekuatan dan sokongan padu daripada rakyat. Kita mampu bergerak bebas pada bila-bila masa.
“Tetapi kini, kita hanya mahu menumpukan untuk menguatkan parti dan menembusi kawasan-kawasan bagi menambahkan keahlian parti,” katanya.
Katanya, kini PBM akan menumpukan mempertahankan Kerusi oleh para penyandangnya sebelum ini. Kerusi lain turut diintai tetapi memerlukan usaha kuat bagi mengukuhkan lagi PBM di kawasan berkenaan.
Ditanya adakah PBM akan menyertai pakatan atau bergerak sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15, Zuraida menjelaskan PBM merupakan parti yang mampu bergerak bebas dalam apa juga situasi.
“Kita merupakan parti yang sangat kuat diperingkat akar umbi, bergerak ke arah mana pun kita tetap mampu menangani hala tuju kami pada masa depan,” katanya sambil menambah PBM masa ini masih memberikan fokus untuk menyertai BN.
Sebelum itu, Zuraida menjelaskan PBM Sabah kini sudah mempunyai enam Bahagian berdaftar iaitu Kudat, Papar, Keningau, Tenom, Batu Sapi dan Semporna.
Katanya, enam lagi Bahagian iaitu Kota Marudu, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Sandakan dan Lahad Datu dijangka akan menerima kelulusan daripada JPPM dalam masa terdekat.
Menurutnya, permohonan untuk baki 14 Bahagian lagi masih dalam proses dan kini PBM mempunyai lebih 3,000 ahli di Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia Datuk Daud Amatzin dan Ahli Perniagaan Jupperi Lenson menyertai PBM Sabah. – Utusan Borneo