Bapa Maut, Anak Cedera Van Bertembung 4×4 Di Jalan Papar

xcident.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR:Seorang lelaki yang memandu sebuah van maut manakala anaknya dan seorang lagi pemandu pacuan empat roda cedera selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kejadian di Kampung Safoda, Jalan Papar, di Sabah, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa Faizal Lorong, 49, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah.

Manakala dua lagi mangsa iaitu anak lelaki Faizal berusia 15 tahun dan pemandu Toyota Hilux yang identitinya belum diperolehi hanya mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.43 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van Nissan Vanette didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir di lokasi kejadian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa diberikan rawatan oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Papar serta Hospital Queen Elizabeth II menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top