Bantuan One-off Tertinggi Untuk Isi Rumah 3 Anak, Gaji Bawah RM2,500

duit.jpg
Kongsi Bersama

Belanjawan 2022 menyaksikan bantuan sekali bayar tertinggi diumumkan kerajaan sebanyak RM2,000.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata bantuan itu akan dimanfaatkan oleh keluarga yang isi rumah memiliki tiga orang anak.

“RM2,000 bantuan one-off tertinggi untuk isi rumah tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan,” katanya ketika pembentangan Bajet 2022 di Parlimen, petang ini.

Katanya, pemberian di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas.

“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan 7 bilion ringgit di bawah BPR,” jelasnya.

Berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tengku Zafrul berkata, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding PGK 2016 iaitu RM980  sebelum ini.

“Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.

“Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan 200 juta ringgit.

“Secara keseluruhan, 2.4 bilion ringgit disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top