Bantuan ‘One-off’ RM500 Persatuan Pengusaha Teksi Dan Kereta Sewa Lahad Datu Sambut Baik

teksi-lahad-datu.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Pengumuman pemberian bantuan kewangan secara sekali bayar (one-off) bernilai RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas pelancongan, kereta sewa dan e-hailing disambut baik oleh Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Lahad Datu.

Pengerusi Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Lahad Datu, Rizal Attan menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna kepada pengusaha teksi di seluruh negara, khususnya di Sabah yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rizal berkata, pengusaha teksi amat terkesan berikutan pendapatan yang terjejas akibat tidak dapat beroperasi seperti biasa serta kekurangan pelanggan yang merupakan sumber utama pendapatan mereka.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu prihatin kepada rakyat untuk bantuan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban pengusaha-pemgusaha teksi,” katanya.

Bantuan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) akan disalurkan kepada individu berdaftar pada Julai ini.

Menurut Rizal, sejak penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP, pengusaha teksi sangat terbeban dalam menanggung kos sara hidup dan persekolahan anak-anak.

Katanya, pendapatan sebelum pandemik melanda adalah sekadar cukup makan sahaja dimana purata mereka memperoleh RM50 hseingga RM100 sehari.

Namun ujarnya, dalam situasi sekarang, pendapatan mereka merudum dengan hanya mendapat RM15 sehingga RM30 sahaja untuk sehari.

Rizal berkata, pemandu teksi perlu dibantu dari pelbagai sudut termasuk inisiatif agar industri terus relevan sebagai sebahagian dari pengangkutan awam negara.

“Pengusaha teksi juga perlu dibantu dari segi kebajikan mereka seperti nelayan yang dibantu sehingga RM300 sehingga RM500 sebulan.

“Oleh itu, kita menyarankan kerajaan menyalurkan bantuan kepada pengusaha teksi seluruh negara yang begitu banyak terkesan,” katanya.

Selain itu, Rizal turut berkata pengusaha teksi yang terbeban akibat saranan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang meletakkan pelbagai syarat termasuk had usia kenderaa , sewajarnya diberi kelonggaran.

Ia sehingga keadaan COVID-19 dan ekonomi kembali pulih.

Rizal turut memohon kerajaan untuk mencari pendekatan dan inisiatif untuk memberi kemudahan pinjaman dari segi menggantikan kenderaan kepada pengusaha-pengusaha teksi dan skim bantuan dari agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dibuka semula. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top