Bantuan Mangsa Banjir Hingga RM61,000, Tak Perlu Keluar KWSP – PM

ismail-sabri.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan memerlukan sokongan semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited untuk memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka memerlukan.

Kata beliau, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir  boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah dan ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kata beliau,  dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka  boleh merancang masa depan selepas bersara.

“Malah bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat  memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2022 di sini semalam.

Menurut Perdana Menteri, selain bantuan-bantuan yang pernah diberitahu sebelum ini, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

Walau bagaimanapun, kata beliau, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000, manakala, bagi  rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baharu.

“Memandangkan banyak sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan,  kerajaan bersetuju memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian  barangan keperluan mengikut kesesuaian masing masing.

“Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir,” katanya.

Antara bantuan lain ialah:

– Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah.

– Baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik di premis atau platform e-dagang.

– Pemilik kenderaan Perodua dan Proton dapat pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti (syarikat lain beri diskaun 25 peratus).

– Pemilik kenderaan rosak dapat baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan.

 

Sumber: Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top