Bantuan Bakul Makanan Untuk Pelajar Sabah di UPSI

arthur-UPSI.jpg
Kongsi Bersama

TANJONG MALIM: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup, pada Ahad lepas telah menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada 134 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Negeri Sabah.

Katanya, bantuan bakul makanan dan ‘hygiene kit’ itu merupakan usahasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dan Mercy Malaysia.

“Bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar dari Negeri Sabah yang terpaksa tinggal di kampus dan tidak dapat pulang sempena cuti semester kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di fasa Pelan Pemulihan Negara fasa 1 dan 2”.

Tambahnya lagi, bantuan yang diberikan ini juga akan dapat mengurangkan pergerakan pelajar untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian. Ini sekali gus akan dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Mengulas berkenaan keutamaan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi pembekalan vaksin CanSino oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, Arthur berkata beliau menyambut baik keputusan itu.

“Kita melihat antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah mengenai kos logistik serta perhubungan yang menyebabkan kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah antara yang terendah”.

“Justeru, pembekalan vaksin CanSino yang memerlukan hanya satu dos suntikan bersesuaian dengan keadaan demografi negeri Sabah dan dijangka akan membantu mengurangkan kos serta cabaran logistik yang dihadapi terutamanya di kawasan pendalaman dan kampung-kampung terpencil”.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata dengan penggunaan vaksin ini beban tugas yang digalas oleh petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin sekitar negeri Sabah khususnya bagi kawasan pedalaman akan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus iaitu antaranya kekerapan perjalanan yang diperlukan ke sesebuah kawasan bagi memberikan suntikan vaksin.

Oleh itu, penggunaan vaksin CanSino ini akan dapat meningkatkan kadar imunisasi di Negeri Sabah di samping mempercepatkan imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian COVID-19.-pr/BNN

 

Foto: FB YB Datuk Arthur Joseph Kurup


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top