Bantuan Bakul Makanan Untuk 76 Kampung, 4,900 Ketua Isi Rumah

ruddy-awah.jpg
Kongsi Bersama

PITAS: Kerajaan Negeri melalui Pusat Bantuan Bencana terus menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat bencana.

Ini turut membabitkan bantuan kepada 4,900 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 76 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah berkata, bantuan itu disalurkan kepada penduduk di kampung-kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan ekoran hujan yang berlarutan sehingga seminggu.

“Pihak ADUN Pitas dan saya sendiri tidak putus-putus mengedarkan bantuan kepada semua mangsa banjir.

“Sebagai wakil rakyat saya terpanggil untuk tampil membantu,” katanya yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau memberitahu, hujan yang berterusan seminggu lalu menyebabkan banyak kampung terputus hubungan jalan raya akibat banjir dan menyebabkan bekalan makanan terputus.

Ruddy berkata, bantuan bakul makanan yang diedarkan adalah sumbangan dari Kerajaan Negeri Sabah dan sumbangan peribadinya termasuk kos penghantaran ke kawasan pendalaman menggunakan lori dan sampan juga dibiayai oleh beliau sendiri.

Menurut Ruddy, beliau sendiri telah menambah sebanyak 2,500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pitas yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kerana pihak lain termasuk agenda-agensi kerajaan, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk di Pitas yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Selain mengedarkan bantuan bakul makanan menggunakan lori dan bot, pihak lain turut serta membantu seperti pihak Majlis Daerah Pitas yang menggunakan lori Jabatan Kerja Raya (JKR), kapal marin Kudat dan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM). Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Ruddy menyampaikan sumbangan pelitup muka dan lampu solar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.-pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top