KOTA KINABALU: Penduduk di beberapa buah kampung di daerah Pitas yang terputus bekalan makanan ekoran terputunyas perhubungan jalan darat selepas banjir melanda daerah itu akan menerima bantuan bakul makanan dari kerjaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata,kerajaan memahami kesukaran penduduk terlibat untuk keluar membeli bahan keperluan disebabkan beberapa jalan darat terputus termasuk sebuah jambatan di Sungai Paparoun Telaga yang menjadi nadi perhubungan utama penduduk Kampung Telaga dan sekitarnya yang dihanyutkan banjir besar minggu lepas.
“Faktor ini juga menyebabkan kesukaran untuk kita menghantar bantuan bakul makanan, bagaimanapun usaha secara berperingkat telah dilakukan oleh Jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pitas untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini kemarin.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian sebagai mengulas laporan media di mana kira-kira 4000 orang penduduk di Pitas yang melibatkan sekitar 15 buah kampung terputus bekalan makanan ekoran musibah banjir.
Tambah Bung bagi kampung=kampung yang masih dihubungi dengan jalan darat pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas, Ahli Parlimen Kudat dan dua wakil rakyat ADUN Pitas dan ADUN Bengkoka telahpun menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terjejas.
Menurut Bung dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah penghantaran telah dilakukan melalui jalan udara dengan menggunakan helikopter pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun tambah Bung, kapasiti pengangkutan amat terhad dan bantuan yang disalurkan pun agak terhad selain bergantung kepada keadaan cuaca.
Kata beliau lagi, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shehelmey Yahya telah pun turun padang bagi memantau keadaan ini selain pasukan dari Jabatan Kerja Raya yang diketuai oleh pengarahnya Ir Ali Ahmad Hamid bersama jurutera-jurutera daerah telah melakukan lawatan ke beberapa tempat yang terputus perhubungan jalan raya bagi mengenal pasti kerosakan dan anggaran kos pembaikan.
Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan akan dijalankan dengan menggunakan peruntukan kecemasan (AP55)
“Kita akan memulakan kerja kerja pembaikan dalam tempoh terdekat ini, bagaimanapun ianya amat bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan terawal kita ialah membuat laluan alternatif bagi jalan-jalan yang tidak mengalami kerosakan serius dan masih ada ruang untuk membina laluan alternatif,” katanya.