Bantu Rakyat, Hentikan Berpolitik – Anifah

anifah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiap ahli politik tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang diminta untuk menghentikan pertikaian politik dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu rakyat dalam tempoh sukar ini.

Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman turut menggesa ahli politik untuk mengetepikan perbezaan buat sementara waktu dalam menangani pandemik COVID-19.

Astro Awani melaporkan Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, kerajaan seharusnya tampil dengan cara lain dalam menangani krisis dihadapi apabila cara sebelum ini tidak berhasil.

“Kerajaan perlu tampil dengan polisi yang lebih baik bagi menangani pandemik COVID-19 dan mesti mencari kestabilan diantara memelihara keselamatan dan kelestarian kebajikan rakyat.

“Pandemik telah memberi kesan kepada orang ramai dalam pelbagai cara. Banyak yang kehilangan nyawa, keluarga turut bersedih di atas kehilangan insan tercinta.

“Lebih memburukkan keadaan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam tempoh yang panjang dan ia telah membuatkan rakyat terjejas dari segi perniagaan dan kehilangan pekerjaan, sekali gus memberi kesan yang teruk,” katanya.

Beliau yang dilaporkan berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu turut mempersoalkan strategi sedia ada yang digunakan dalam menangani masalah dihadapi rakyat kini, khususnya yang menyentuh mengenai soal kebajikan dan ekonomi mereka.

“Bukan hanya golongan B40 yang terkesan akibat pandemik. Tidak lama lagi, golongan M40 juga akan terkesan. Apabila satu kumpulan kehilangan pendapatan, mereka juga akan kehilangan kuasa untuk membeli.

“Ini akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli barang keperluan, manakala mereka yang menjual (barangan) juga akan kehilangan pendapatan.

“Perniagaan akan terjejas, pekerja akan kehilangan pekerjaan. Bagaimanapun, tindakan untuk melaksanakan tempoh berkurung berterusan bukan jawapannya. Ia adalah satu kitaran yang buruk,” jelas beliau.

Selain itu, beliau sedar dan memahami keperluan kerajaan untuk membenarkan sesetengah sektor untuk beroperasi ketika PKP ini. Memberi contoh katanya sektor perkilangan.

Oleh yang demikian, pelaksanaan pembukaannya perlu dilakukan dengan lebih baik dan tertib agar penularan melibatkan sektor itu tidak terus berlaku.

Anifah menambah, pada masa ini rakyat marah terhadap ahli politik yang dilihat diberi kelebihan seperti ‘dwi-standard’ atau layanan berbeza dalam pematuhan arahan prosedur operasi standard (SOP).

Tegasnya, ahli politik mahupun pemimpin yang melakukan perjalanan ke luar negara untuk bercuti hanya memberi mesej negatif kepada rakyat yang jelas terkesan akibat dihimpit pandemik.

“Tunjukkan rasa empati kepada rakyat yang kehilangan nyawa, pekerjaan dan tidak mampu menampung kehidupan ketika ini.

“Ini bukanlah masa untuk menunjukkan kekayaan dan kebahagiaan tatkala rakyat jelas sengsara,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top