Bantu Jayakan PICK Di Sabah: JHEAINS Sedia Benarkan Fasiliti Sekolah Agama Negeri Sebagai PPV

ariffin-arif-vaksin.jpeg
Kongsi Bersama

PAPAR: Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sedia membenarkan fasiliti sekolah agama negeri di Sabah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia adalah bertujuan bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seterusnya membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

“Ada beberapa buah sekolah menengah sekiranya difikirkan sesuai JHEAINS sedia untuk menyediakan tempat untuk tujuan PPV, misalnya di Keningau kita ada sebuah sekolah menengah agama yang baharu dan ia boleh digunakan sekiranya perlu.

“Pada hari ini, kita menggunakan Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut sebagai PPV Sementara untuk tujuan pemberian vaksin kepada 700 penerima khususnya untuk kakitangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan JHEAINS di Daerah Papar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pemberian vaksin di SMA Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut disini pada Jumaat.

Mohd Arifin berkata, pemberian vaksin di PPV sementara itu melibatkan ahli jawatankuasa masjid sekitar daerah Papar, guru-guru agama di bawah JHEAINS termasuk guru Tadika beserta ahli keluarga masing-masing.

Katanya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak KKM kerana memberi peluang kepada petugas dan kakitangan di bawah MUIS dan JHEAINS untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut meminta kerajaan pusat untuk memberikan lebih banyak vaksin untuk Sabah atas peratusan vaksinasi terus meningkat dan setara dengan negeri-negeri lain.

“Saya bagi pihak rakyat dan masyarakat di Sabah meminta agar kerajaan pusat dapat menyalurkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri ini sesuai dengan semangat rakyat yang ingin dan mahu menerima vaksinasi.

“Kita juga mahu negeri Sabah setanding dengan negeri lain dari segi peratus penerimaan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Kesihatan Daerah Papar Dr Alferd Aldrin meminta penduduk daerah ini yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera agar membuat pendaftaran vaksinasi secara manual.

“Pendaftaran boleh dibuat di pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pejabat Program Outreach Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat,” katanya. –Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top