BANSA sokong cadangan pemilihan terbuka bina kepimpinan Sabah berwibawa

John-Charles-Mitah-Mikat.jpg

John

KOTA KINABALU: Presiden Bangkit Anak Negara Sabah (BANSA) John Charles Mitah Mikat menyokong dan bersetuju dengan cadangan penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkenaan cadangan untuk membiarkan semua kerusi dipertandingkan secara terbuka sebelum mewujudkan satu gabungan yang benar-benar kukuh dan berwibawa.

Katanya, ia adalah satu langkah yang sangat tepat dan berpandangan jauh kerana mampu menamatkan politik lompat parti dan pintu belakang.

“Terlalu lama berlakunya politik lompat parti di Sabah dan dengan membiarkan semua kerusi dipertandingkan secara bebas, kita memberi peluang kepada calon yang benar-benar berprinsip dan mewakili suara rakyat untuk bertanding tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik yang tidak sihat.

“Usaha ini juga memastikan rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa, sekiranya gabungan diwujudkan terlalu awal, ada risiko bahawa calon yang tidak layak tetapi mempunyai hubungan politik kuat akan diberikan tempat bertanding.

“Sebaliknya, jika semua kerusi dipertandingkan terlebih dahulu, ia membolehkan rakyat menilai siapa yang benar-benar layak. Ini memastikan bahawa hanya pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat akan mendapat tempat dalam gabungan yang bakal dibentuk,” katanya.

Tambahnya, ia juga menggalakkan persaingan sihat dan menambah kualiti kepimpinan, apabila setiap parti dan calon perlu bersaing secara adil, mereka akan lebih berusaha untuk menawarkan dasar yang terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, ini akan meningkatkan kualiti kepimpinan dalam jangka panjang kerana hanya mereka yang mempunyai kebolehan sebenar dan idea yang bernas akan dipilih oleh rakyat.

“Ini juga mampu mewujudkan gabungan Sabah yang kuat kerana banyak gabungan politik di Sabah sebelum ini diwujudkan secara tergesa-gesa dan berdasarkan kepentingan individu atau kumpulan tertentu.

“Akibatnya, gabungan sering kali tidak stabil dan mudah berpecah. Dengan membiarkan proses pemilihan berjalan terlebih dahulu, kita boleh membentuk satu gabungan selepas itu yang terdiri daripada pemimpin yang benar-benar dipilih oleh rakyat dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi seterusnya menghasilkan gabungan Sabah yang lebih efektif dan berketrampilan untuk membawa Sabah ke arah pembangunan sebenar.

“Tindakan ini juga dapat mengembalikan hak dan kuasa politik kepada anak Sabah selari dengan matlamat BANSA untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat Sabah,” katanya.

Tambahnya, dengan memastikan pemilihan yang lebih telus dan adil sebelum membentuk gabungan, ia dapat memastikan bahawa suara rakyat Sabah tidak lagi dipinggirkan oleh permainan politik pihak tertentu.

“Pendekatan ini adalah strategi terbaik untuk memastikan Sabah mempunyai kepimpinan yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan yang diperlukan,” katanya.

BANSA adalah gerakan yang berjuang untuk mempertahankan hak-hak rakyat, kedaulatan, dan autonomi Sabah. Ini bukan sahaja soal keadilan, tetapi tentang masa depan setiap suku, komuniti dan rakyat. Kita bersatu, mengangkat integriti, dan memastikan perpaduan kita tidak akan goyah, kerana hanya dengan kebersamaan kita boleh menegakkan maruah dan melindungi hak kita sebagai anak negeri ini. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top