KOTA KINABALU: Bank Rakyat terus komited dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan menerusi penganjuran Program Saya Mau Kaamatan 2024 dengan menyerahkan sumbangan bakul makanan berjumlah keseluruhan RM33,500 kepada 670 keluarga B40 di Sabah.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, program bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan ini mencerminkan keprihatinan Bank Rakyat yang sentiasa cakna terhadap kemakmuran ekonomi dan kebajikan masyarakat di setiap pelusuk negara, seiring dengan misinya serta aspirasi Kerajaan dalam mewujudkan persekitaran masyarakat Madani yang sejahtera dan mampan.
Program sumbangan bakul makanan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya pada tahun ini disempurnakan oleh Pengarah Wilayah Bank Rakyat Borneo, Saini Hammade kepada wakil penerima pada program penyerahan yang diadakan di Pejabat Wilayah Bank Rakyat, Harbour City, Kota Kinabalu, Sabah.
Program itu merupakan inisiatif dilaksanakan Bank Rakyat dalam meneruskan usaha jangkauan komunitinya bagi mendekati dan menyantuni komuniti yang memerlukan, selain memberi semula kepada masyarakat setempat di sekitar kawasan Bank Rakyat beroperasi.
Bank Rakyat percaya bahawa setiap sambutan perayaan di Malaysia mempunyai makna yang istimewa bagi sesebuah masyarakat dan merupakan simbolik kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum, etnik dan budaya.
Justeru, menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan dan menambah keceriaan mereka dalam menyambut Pesta Kaamatan bersama keluarga.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama 15 cawangan Bank Rakyat Sabah di sekitar kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Likas, Jalan Tuaran, Keningau, Labuan, Lahad Datu, Kota Belud, Penampang, Beaufort, Kota Marudu, Putatan, Semporna dan Ranau.