Bank Dunia Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 6.7% Tahun Depan

world-bank.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bank Dunia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 6.7% tahun depan selepas susut 5.8% pada 2020.

Laporan terbaru Malaysia Economic Monitor, mengaitkan pemulihan itu dengan garis asas lebih rendah berikutan penyusutan pada 2020.

Ia menjangka pemulihan dipacu oleh pembaikan dalam aktiviti eksport dan peningkatan penggunaan dan pelaburan swasta.

Ia berkata kekuatan dan masa pemulihan bergantung kepada ketersediaaan vaksin Covid-19 yang berkesan dan tahap pemulihan negara lain kerana permintaan luaran bergantung pada pencapaian ekonomi.

Berucap semasa pembentangan laporan itu secara atas talian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, hujung tahun ini lebih sukar daripada jangkaan.

“Pada pertengahan tahun ini, dijangkakan akan berlaku pemulihan ekonomi secara berperingkat pada suku ini, tetapi nampaknya ia tidak berlaku.

“Ia berkait dengan penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan pada Okt.”

Laporan itu turut menyebut penggunaan swasta dijangka tumbuh kepada 7.4% pada tahun depan selepas susut 4.8% pada 2020 apabila pengguna mula yakin hasil daripada kawalan Covid-19 yang lebih baik dan penurunan risiko kesihatan.

Bank Dunia juga mengunjurkan permintaan terhadap eksport Malaysia akan tumbuh sebanyak 8.9% susulan pemulihan ekonori negara serantau dan China, sekali gus menjurus kepada peningkatan permintaan. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top