Banjir: Pemimpin Berebut Jawatan Dan Projek, Sedangkan Rakyat Perlu Bantuan – Shafie

mangsa-banjir.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal membidas usaha bantuan kerajaan “yang mengecewakan” berikutan banjir besar di Semenanjung, dengan berkata, ia disebabkan kurangnya kepimpinan dan silap meletakkan keutamaan.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, rakyat terpaksa membantu antara satu sama lain berikutan tindak balas yang lewat dan kekurangan penyelarasan oleh agensi kerajaan, misalnya di Selangor.

“Kenapa ini berlaku? Sebab (kurangnya) kepimpinan dan tiada tumpuan,” katanya ketika program Unity Show yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

“(Sebaliknya) fokus kepada siapa nak jadi Perdana Menteri, siapa nak jadi menteri atau siapa dapat projek mana. Jadi, kita tidak mentadbir negara (dengan betul), kita tidak membantu rakyat.

Shafie

“Kita hanya cuba bantu sesama sendiri. Di sinilah rakyat sudah muak dengan ahli politik, dengan semua kerajaan, satu demi satu,” katanya.

Shafie turut mengkritik kerajaan kerana tidak segera mengerahkan aset seperti bot untuk membantu mangsa banjir.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit bagi membeli peralatan dan aset buat pelbagai kementerian yang boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada mangsa, bukan untuk dibiar dan tidak digunakan.

“Ini yang saya sentiasa kata dalam Parlimen, kita harus letakkan aset itu di tempat yang paling memerlukannya. Terdapat banyak bot tentera, kenapa tidak guna? Kita bukan sedang berperang sekarang,” katanya.

“Saya juga dengar di Parlimen baru-baru ini, Kementerian Pertahanan bercadang membeli jet pejuang. Namun ketika negara sedang berhutang dan rakyat memerlukan bantuan, kenapa kita perlu berbuat demikian?”

Shafie berkata, lebih baik dana itu digunakan untuk membantu mangsa yang kekurangan bekalan makanan atau kehilangan rumah dan harta benda akibat banjir.

Beliau turut mengeluh mengenai ketidakupayaan nyata antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor untuk bekerjasama dalam usaha bantuan banjir.

“Kita mesti ada perancangan dan penyelarasan apabila banjir berlaku tetapi (sebaliknya) Menteri Besar bercanggah dengan kementerian persekutuan mengenai ini (usaha bantuan) tanggungjawab siapa.

“Mesti ada kerjasama tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian, kenapa? Ini kerana mereka tidak sehaluan walaupun telah menandatangani memorandum persefahaman,” katanya merujuk kepada pakatan politik antara Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tahu banjir akan berlaku setiap tahun di Malaysia. Kenapa kita tidak boleh ada pusat banjir di setiap negeri, ia boleh misalnya diletakkan di kawasan lebih tinggi dan digunakan untuk menyimpan bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.

Kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk membina rumah sementara, tambahnya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top