Banjir Di Beaufort: AIM Hulur Sumbangan RM20,000

lajim-2.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Susulan situasi getir ekoran banjir yang melanda kawasan ini, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengambil inisiatif menyumbang RM20,000 kepada Jawatan Kuasa Bencana Alam Daerah Beaufort.

Sumbangan itu diserahkan Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin kepada Pegawai Daerah Beaufort selaku Pengerusi Bencana Alam kawasan ini semasa lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Dun Banir.

Lajim berkata, sumbangan berkenaan bagi memudahkan lagi usaha jawatan kuasa itu mengelola segala keperluan dan kebajikan mangsa banjir di kawasan ini khususnya yang ditempatkan di PPS.

Katanya, inisiatif itu merupakan salah tanggungjawab sosial korporat (CSR) AIM bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di kawasan ini hingga ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Sumbangan AIM ini bagi membantu Jawatan Kuasa Bencana Alam Beaufort mengelola situasi banjir di kawasan ini termasuk penyediaan barangan makanan serta keperluan lainnya untuk penduduk yang ditempatkan di PPS ini.

“Kita (AIM) akan terus membantu jika situasi banjir di sini berlanjutan. Mungkin ada bantuan kali kedua (sumbangan) dari AIM sebagai CSR kita supaya keperluan mereka yang terjejas terjaga.

“Selain Beaufort, saya juga telah meluluskan sedikit peruntukan (AIM) sama sebanyak RM10,000 kepada Jawatan Kuasa Bencana Alam Daerah Tenom yang difahamkan situasi banjir di kawasan iaitu kini semakin stabil,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih; Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun; Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob dan Pengarah Bomba Negeri Sabah, Md Ali Ismail.

Terdahulu, Lajim turut berkesempatan meninjau beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir termasuk mengagihkan bantuan barangan dapur kepada mangsa-mangsa terlibat.

 

Foto: Amanah Ikhtiar Malaysia


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top