Bangunan ‘Teras Pancasila’ dibina di Wisma Konsulat RI Tawau

konsulat-indonesia-tawau.jpg

Aris ketika memberikan ucapan sempena majlis perasmian bangunan Teras Pancasila.

Kongsi Bersama

TAWAU: Bangunan ‘Teras Pancasila’ yang dibina di perkarangan Wisma Konsulat Republik Indonesia (RI) Tawau dijadikan sebagai salah satu kawasan promosi bagi pelbagai kegiatan yang dilakukan di sini.

Ketua Konsulat RI Tawau, Aris Heru Utomo berkata seni bina bangunan itu adalah diadaptasi daripada bentuk rumah khas etnik Betawi yang merupakan salah satu suku terbesar di wilayah Jakarta, Indonesia.

Katanya, ia menjadi daya tarikan di Wisma Konsulat RI Tawau selain tempat untuk mempromosi pelbagai kegiatan sama ada dalam bentuk bersemuka atau pun dalam talian.

“Teras Pancasila ini juga akan jadikan sebagai tempat bersilaturahim, menyambut tetamu dan bersantai bersama semua pegawai serta kakitangan Konsulat RI Tawau.

“Selain itu, warga Indonesia yang berada di Tawau juga boleh datang untuk mengabadikan gambar di sini, termasuklah membuat konten media sosial mereka dengan hanya meminta izin terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan Teras Pancasila yang dihadiri lebih 200 orang termasuk kakitangan Konsul RI Tawau dan warga Indonesia, di Tawau, kelmarin.

Menurutnya, nama Teras Pancasila dipilih adalah signifikan supaya warga Indonesia di sini dapat mengingat serta memahami Pancasila sebagai dasar negara, pandangan hidup bangsa dan ideologi negara.

“Kita ketahui bahawa ramai anak-anak Indonesia yang lahir dan membesar di Tawau. Justeru, perlunya ada pendedahan mengenai Pancasila kepada mereka.

“Konsulat RI Tawau juga akan meletakkan buku-buku dan tayangan visual mengenai Pancasila di bangunan Teras Pancasila ini pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, aktiviti pertama yang dilakukan di bangunan Teras Pancasila ialah program sosialisasi masalah konsulat, imigresen, pencegahan penggunaan dadah dan perundungan. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top