TAWAU: Projek menaik taraf Hospital Tawau di sini yang membabitkan pembinaan blok tambahan bernilai RM253 juta pada dasarnya sudah siap dan dijangka memulakan operasi pada tahun depan.
Pengarah Hospital Tawau Dr Nurlimah Arsad berkata bangunan tambahan yang mula dibina pada 2017 itu kini dalam proses dilengkapi kemudahan dan peralatan kesihatan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.
“Peralatan hospital belum sampai, apabila bangunan tambahan hospital ini beroperasi sepenuhnya ia akan memberi kelegaan, penduduk Tawau dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya kepada Bernama semalam.
Majlis pecah tanah serta naik taraf Hospital Tawau dilakukan pada 18 Dis 2017 dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu Tan Sri Dr Ali Hamsa dengan jangkaan ia dapat disiapkan pada 5 Mei 2020.
Blok baharu itu akan menempatkan 154 katil dan beberapa kemudahan lain termasuk enam bilik bedah, empat suite endoskopi serta 30 unit hemodialisis.- BERNAMA