MENUMBOK: Bangunan Sekolah Kebangsaan Sangkabok, di sini, adalah setanding dengan bangunan atau prasarana di kawasan bandar.
Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata prasarana sebegini akan mampu meletakkan anak-anak warga sekolah berada pada tahap yang selesa.
“Kita perlu terus menyokong usaha-usaha kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan di daerah luar bandar sama tarafnya dengan kawasan bandar.
“Apa yang penting ialah sikap dan nilai diri kita sendiri untuk saling menjaga perpaduan, mantapkan keharmonian di kalangan kita, bersatu hati dan terus memberi kerjasama kepada pihak sekolah demi melihat masa depan anak-anak kita cemerlang yang akan menjadi aset utama kepada negara di masa hadapan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Bangunan Pra-Sekolah SK Sangkabok sempena Penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Keluarga sekolah berkenaan di sini pagi kelmarin.
Turut hadir Guru Besar SK Sangkabok Haziza Hj Limat, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu Dulamit Bongsu, Pegawai Pembangunan PPD Kuala Penyu Hussin Ali, Pengerusi PIBG Amelia Contesa, Ketua-Ketua Kampung, JPKK, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), para ibubapa dan guru serta penduduk sekitar. – SABAHitz On9 TV