Bangunan Sekolah Agama Negeri Baharu Akan Dibina Di Kg Tebobon

arifin-arif-sekolah-agama.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Sebuah bangunan baharu Sekolah Agama Negeri (SAN) akan dibina di Kampung Tebobon bagi menggantikan bangunan SAN kampung berkenaan yang kini berada dalam keadaan daif.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bangunan berkenaan diyakini dan diharap mampu memberi keselesaan kepada murid-murid di SAN itu termasuk kampung yang berhampiran.

“Pada hari ini, saya mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan SAN di Kampung Tebobon yang sebelum ini memang agak daif dan kita bersyukur kerajaan telah meluluskan pembinaan SAN baharu bagi menggantikan bangunan lama.

“SAN yang baru ini diharap dapat menampung serta memberi keselesaan kepada murid di sekitar kampung ini dan kampung-kampung yang berdekatan dengan kampung Tebobon,” katanya ketika dihubungi Sabah Media selepas lawatan itu petang semalam.

Mohd Arifin berkata, pihaknya juga turut berharap agar anak-anak di kampung tersebut mendapat pendidikan agama yang sewajarnya menerusi SAN dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Katanya, proses pembinaan bangunan baharu itu dijangka akan dilaksanakan secepat mungkin selepas mendapat tapak baharu yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Yakub Khan.

“Saya berharap proses pembinaan ini akan berjalan lancar bagi memberi keselesaan kepada murid-murid serta guru terlibat selain memberi manfaat yang berguna untuk masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, sehingga kini terdapat sebanyak 105 SAN; enam buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan 14 buah Tadika JHEAINS dibawah kelolaan JHEAINS. – Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top