KOTA KINABALU: Balai Seni Lukis Sabah telah menyusun beberapa program untuk memperingati perjuangan Pengasas Balai Seni Lukis Sabah dan Penggiat Seni Datuk Yaman Ahmad Mus.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, Yaman juga telah banyak berjasa dalam perkembangan industri seni Sabah dan merupakan Mantan Pengarah yang telah menubuhkan Balai Seni Lukis Sabah pada tahun 1984.
“Majlis sambutan yang dianjurkan pada hari ini adalah bertujuan menghargai segala usaha dan daya yang telah disumbangkan beliau.
“Memegang kepada prinsip Yaman iaitu ‘Bring Art To The People’, Balai Seni Lukis Sabah melestarikan prinsip ini dengan merangka pelbagai usaha dan inisiatif agar seni terus dekat bukan sahaja kepada penggiat seni, malahan juga kepada masyarakat kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah serta Pameran Jilin-Sabah International Children and Youth Online Art Exhibition 2023/2024 di sini, pada Selasa.
Katanya, antara program yang diadakan adalah Pameran Solo Richard Lim dan Benedict Chong yang kini sedang berlangsung di galeri Aras 3 dan Aras 4.
“Pameran Retak Pertujuh iaitu Pameran Karya Undangan yang diadakan oleh Balai Seni Lukis Sabah pada setiap tahun.
“Pameran MERAKI iaitu pameran berkumpulan pemenang Kategori Khas KPTNS 2022/2023.
“Pameran Retrospektif Datuk Yaman Hj. Ahmad Mus dengan mempamerkan hasil karya beliau sebagai penggiat seni dan Program tahunan terbesar iaitu Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah yang diadakan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, program itu telah bermula pada 5 Februari sehingga Julai 2024.
Menurutnya, pameran bersempena program ini pula akan diadakan pada bulan Oktober sehingga Februari 2025.
“Saya yakin bahawa program atau pameran yang diadakan untuk menghargai penggiat seni baik yang lama mahupun baharu adalah penting untuk memberi inspirasi kepada generasi muda agar mereka meneruskan perjalanan seni yang sedia ada.
“Tidak dinafikan industri seni turut memberi impak besar kepada pemeliharaan budaya serta menjadi aset penting untuk sektor pelancongan,” katanya.
Katanya, mengenai sektor pelancongan, pada tahun lalu Balai Seni Lukis Sabah telah berkolaborasi dengan Jilin People’s Association for Friendship
with Foreign Countries dengan mengadakan sebuah program iaitu Jilin-Sabah International Children and Youth Online Art Exhibition.
Menurutnya, Jilin merupakan sebuah wilayah di China dan program yang diadakan ini adalah bagi meraikan hubungan diplomatik antara Sabah dan Jilin (China)yang sudah mencecah sedekad.
“Sejumlah 179 peserta daripada 41 sekolah seluruh Sabah telah menyertai program ini dan sejumlah 221 peserta di pihak Jilin, China.
“Saya berharap usaha seumpama ini akan berterusan dan sama-samalah kita merakyatkan dan membudayakan seni agar lebih dikenali dan dekat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – Utusan Borneo