TONGOD : Sebuah balai bomba perlu dibina segera daerah Tongod bagi mempercepatkan tindakan sekiranya berlaku kebakaran dan bencana alam di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun daerah pedalaman tidak termasuk dalam zon cadangan Balai Bomba dan Penyelamat tapi perhubungan terlalu jauh dengan balai bomba di Kinabatangan dan Beluran menyukarkan sebarang tindakan tuntas.
“Prosuder penempatan balai bomba ternyata tidak relevan, kerana nyawa dan harta banda rakyat jauh lebih penting.
“Kita mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia mengkaji semula prosuder zon kelayakan penempatan balai bomba kerana prosuder itu ternyata tidak membantu tindakan keselamatan yang cepat efekif,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran di Kampung Seri Menanti, Penangah di sini kelmarin. Beliau turut menyampaikan bantuan peribadi berjumlah RM500 kepada 81 keluarga mangsa selain bantuan bahan makanan, alat mandian dan barangan pakai buang.
Masiung melahirkan perasaan kesal apabila pihak bomba terpaksa mengambil masa hampir lima jam untuk sampai ke lokasi kejadian kebakaran sehingga memusnahkan 56 rumah di Kampung Seri Menanti, Penangah pada Ahad lalu.
“Ketika ini jarak antara balai bomba Kinabatangan dan Beluran melebihi 200 kilometer di samping bentuk keadaan jalan perhubungan yang berbukit bukau.
“Kita mahukan pegawai kanan KPKT untuk turun padang memantau lokasi daerah Tongod yang lebih besar berbanding keluasan negeri Kedah,” jelas Masiung.
Sumber: SNT