KOTA KINABALU: Bakal Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick menyokong cadangan supaya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dipertimbangkan sebagai calon Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan datang..
“Kitingan mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ewon berkata Pairin telah membentuk dan memimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai parti berbilang kaum pada 1984 sebelum bersara pada 2018, dan oleh itu, beliau akan dapat mencerminkan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama.
“Kedudukan TYT adalah simbol perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah,” kata Ewon, yang akan mengambil alih jawatan presiden UPKO semasa kongres UPKO 15-16 Okt ini setelah presiden sekarang Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya.
Ewon berkata demikian bagi menyokong gesaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) supaya kerajaan mempertimbangkan Pairin sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah seterusnya apabila penggal empat tahun TYT sekarang Tun Juhar Mahiruddin tamat pada 31 Dis tahun ini.
ADUN Kadamaian itu seterusnya berkata tiada apa-apa dalam perlembagaan negeri yang menghalang Pairin daripada dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri..
“Saya menyokong penuh kerajaan negeri mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik (Pairin sebagai) TYT Sabah,” katanya lagi.
Pada hari Rabu lepas, Setiausaha Agung KDCA Suman Yasambun berkata Pairin, 82, yang merupakan Huguan Siou Kadazandusun merupakan tokoh paling sesuai untuk jawatan TYT.
Tun Juhar sedang dalam penggal ketiga sejak pelantikannya pada 2011.
Kerajaan negeri setakat ini masih belum menyatakan sama ada mereka akan melanjutkan tempoh perkhidmatannya atau menggantikannya.
Beberapa nama lain yang dispekulasi untuk jawatan itu ialah bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman dan bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.