1. Selepas namanya disebut tidak tersenarai sebagai salah seorang bakal calon yang akan diumumkan oleh BN petang nanti, soalan yang timbul ialah baju mana yang Tan Sri Musa Aman akan pakai selepas ini?
2. Yang pasti dia tidak akan berhenti di situ sahaja. Sekurang-kurangnya sehingga semalam, nafsunya untuk berpolitik masih segar bugar. Sama dengan ghairahnya untuk menjadi ketua menteri kembali.
3. Kerana ghairah itulah semalam Musa membayangkan hasrat untuk bertanding di DUN baharu Sungai Manila. Dia tidak menyebut atas tiket apa. Tetapi kerana Musa pada dasarnya masih bersama Umno maka tanggapan umum tentulah dia akan bertanding atas lambang BN.
4. Mujurnya ketua jentera BN untuk PRN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pantas mendedahkan nama Musa tiada dalam senarai. Jika tidak sampai sekarang pun tentu anggapan umum ialah Musa akan menjadi calon BN di Sungai Manila.
5. Tindakan Bung Moktar itu sebenarnya wajar. Ia dapat menyelamatkan UMNO/BN daripada terheret dalam politiking yang tidak menguntungkan. Kalau ada api dalam sekam, maka api itu dipadamkan terus. Soal ia nak menyala di tempat lain, belakang cerita. Yang penting jangan menyala dalam jelapang kita.
6. Analogi itu tidak ditujukan kepada Musa, tetapi kepada sesiapa sahaja dan dalam parti apa pun juga. Budaya lama, membiarkan api itu membakar perlahan-lahan atas nama diplomasi dan ambil hati tidak sesuai dipraktikkan lagi dalam zaman serba-serbi kena pantas ini.
7. Berbalik pada Musa, soalan yang timbul sekarang ialah atas tiket apakah dia akan bertanding? Mungkinkah menumpang PCS, parti yang diterajui adiknya, Datuk Seri Anifah Aman? Mahukah Anifah menerimanya sedangkan tidak lama dahulu Anifah menasihati abangnya itu supaya memberi peluang kepada muka baharu sebab zamannya telah berlalu.
8. Atau mungkinkah Musa menumpang PBS? Selepas PRU dahulu dikhabarkan Musa ada berura-ura membawa kumpulan Adun yang menyokongnya menyertai parti itu, tetapi kemudian hasrat tersebut tertangguh dan terbarai begitu sahaja.
9. Ada juga pemerhati membayangkan keberangkalian dia memilih untuk memakai baju Bersatu kerana hubungannya rapat dengan parti itu. Soalnya, bolehkah Bersatu menggalasnya kerana sebagai bekas ketua kerajaan negeri, Musa membawa bersamanya beban yang agak berat. Bola tanggung yang ditingalkannya pun agak banyak.
10. Mungkin juga Musa akan bertanding sebagai calon bebas. Pengaruhnya masih ada. Walaupun pada PRU 14, majoriti kemenangannya di Sungai Sibuga susut teruk, namun kemunculan DUN baharu Sungai Manila dikatakan memberi keuntungan kepadanya kerana banyak penyokongnya di Sungai Sibuga dahulu kini berada di DUN baharu itu.
11. Pendek kata kalau Musa turun tanpa baju mana-mana parti sekalipun, peluangnya tetap ada. Dia tetap mampu menyebabkan sesiapa sahaja yang cuba melawannya di Sungai Manila tak tidur malam.
12. Soalnya, bolehkah dia sendiri tidur malam apabila kerusi ketua menteri ditolak jauh sedikit daripadanya?
Oleh: TULUS BUDIMAN