Bajet 2024: Sabah perlukan peruntukan yang besar, kata Bung Moktar

bung-moktar.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini dapat memberi fokus kepada isu pembangunan infrastruktur di Sabah.

BHarian memetik Ketua UMNO Sabah itu sebagai berkata tumpuan juga perlu diberikan bagi menangani isu kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah berkesan dalam membangunkan negeri ini seperti dijanjikan sejak sekian lama, terutama kemudahan asas di luar bandar yang masih jauh ketinggalan.

“Sudah tiba masa kerajaan memberi fokus dalam memajukan Sabah dengan menaik taraf infrastruktur seperti memperbanyakkan jalan raya berturap, bekalan air bersih dan elektrik.

“Ini antara isu pembangunan yang agak kritikal dan membelenggu kehidupan rakyat Sabah yang selama ini belum ada kesudahannya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung harapannya terhadap Belanjawan 2024.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, bagi melengkapkan kemudahan asas yang diperlukan rakyat Sabah, ia memerlukan satu peruntukan yang tinggi.

Katanya, walaupun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberikan jaminan isu infrastruktur asas iaitu jalan raya, air dan elektrik dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, ia bukan mudah dengan kekangan kewangan tanpa bantuan daripada Kerajaan Pusat.

Selain itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berharap Kerajaan Pusat dapat memberikan peruntukan untuk meneruskan pelaksanaan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang belum dilaksanakan selain menyiapkan pakej yang terbengkalai.

“Sistem perhubungan yang baik penting untuk pergerakan keluar masuk antara daerah termasuk dengan negeri jiran, Sarawak dan negara Brunei, malah kita perlu bersedia apabila jalan raya Kalabakan ke Serudong yang akan menghubungkan ke Simanggaris di Kalimantan, Indonesia siap,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar juga berharap menerusi Belanjawan 2024, kerajaan dapat mengkaji kadar peruntukan setiap Ahli Parlimen kerajaan yang kini sekitar RM2 juta setahun untuk satu kawasan Parlimen.

“Peruntukan ini agak kecil untuk membangunkan satu kawasan Parlimen berbanding dengan keluasan dan keperluan rakyat terutama dari segi penyediaan infrastruktur asas.

“Bayangkan bagi kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja ia seluas negeri Pahang. Dengan peruntukan yang ada agak sukar memenuhi keperluan pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top