Bajet 2024 adalah yang terbaik buat Sabah: Salleh

SSK.jpg

DSP Dr Salleh Tun Said (gambar fail)

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyifatkan Bajet 2024 sebagai yang terbaik untuk Sabah setakat ini yang benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat, terutama merealisasikan kesepakatan dicapai pemimpin dahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, ia terbukti apabila Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, memperuntukkan RM12.4 bilion untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak. Ia peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.

“Saya menyambut baik pengumuman bajet 2024 yang besar kepada Sabah dan Sarawak. Ini sekali gus menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan Perpaduan memenuhi harapan rakyat selama ini, terutama yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas signifikan Bajet Negara 2024, terutama yang membabitkan kepentingan Sabah.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di kedua-dua negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek-projek terlibat.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

Kali terakhir kajian semula pemberian khas itu dibuat adalah pada 1969 (Sarawak) dan 2022 (Sabah).

Anwar berkata, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 juga telah diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lepas, bagi memperuntukkan wakil kerajaan Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil kerajaan negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak, selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri Sabah juga telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Jan 2024.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hidrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top