Bajet 2023: KM Alu-alukan Komitmen Persekutuan Terhadap Pembangunan Sabah

hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan Bajet 2023 dan menyifatkannya konsisten dengan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan tiada yang tercicir dalam pembangunan arus perdana.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan peruntukan untuk pembangunan yang berjumlah RM6.3 bilion kepada Sabah pada tahun depan.

“Jumlah itu membabitkan kenaikan 20.45 peratus berbanding RM5.2 billion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam bajet nasional tahun ini.

“Sabah amat mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus memberi penekanan kepada pembangunan negeri,” katanya yang melihat bajet itu sebagai inklusif dan mencerminkan

kesinambungan momentum pemulihan negara kesan pandemik COVID-19 yang kini dalam fasa endemik.

Hajiji berkata demikian dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri turut menyaksikan pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat secara langsung melalui siaran televisyen di Menara Kinabalu, di sini, petang semalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan Sabah dengan menaik taraf kemudahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu.

“Selain itu, menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital medan pada tahun depan. Begitu juga peruntukan RM1.2 bilion untuk pembaikan sekolah daif yang membabitkan sebanyak 123 sekolah di Sabah.

“Kami juga mengalu-alukan peruntukan RM430 juta untuk membina sekolah baharu di seluruh negara, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu pada tahun depan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memberi jaminan peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dijangka siap pada 2024.

Turut disentuh, katanya, pembangunan bandar sempadan termasuk pembinaan jalan menghubungkan Kalabakan dengan Simanggaris di Indonesia.

Ketika membentangkan Bajet 2023, Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk pembangunan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu meringankan kesukaran rakyat menerusi pengagihan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion tahun depan.

“Kita juga mengalu-alukan pemberian subsidi bekalan elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah yang tersenarai dalam e-Kasih, selain pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan yang diharap dapat meningkatkan hasil negeri pada tahun depan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top